Hidup adalah suatu perjalanan ke arah menuju destinasi abadi. Hari demi hari usia kita tidak bertambah tetapi makin berkurang lantaran tempoh untuk kita bernafas semakin disingkatkan. Siapakah yang mengawal kehendak takdir tersebut? Antara sedar dan tidak, ada kalanya kita terlupa akan hadirnya saat terakhir ini sebagai suatu detik yang akan dialami oleh setiap manusia. Kita tersedar hanya apabila ada di kalangan orang terdekat yang pergi meninggalkan kita. Alasan kita hanya sibuk. Sibuk sangatkan manusia di dunia ini sehingga tidak mampu meluangkan masa untuk berzikir, membaca dan mentadabbur al-Quran? Hebat sangatkah kita ini sehingga lalai untuk mengingati Allah sedangkan hidup kita tidak lain tidak bukan hanya kerana Dia. Benarlah kata-kata Nabi saw bahawa orang yang paling cerdik di dunia ini ialah orang yang mengingati mati.
Diri ini masih lagi bertatih dalam belajar menerima takdir, memahami ketentuan dan menghadapi kehidupan keranaNYA. Alangkah indah hidup ini, warna-warna yang pelbagai mencorak hidup kita. Berita kehilangan jiran terdekat yang berumur hampir lapan dekad sangat mengejutkan. Baru 3 bulan lepas mengunjungi beliau dengan niat untuk berziarah kerana beliau sudah agak uzur. Tidak pasti sejak bila mula mengenali beliau, tapi sejak mata ini tercelik dan mampu berkata-kata individu tersebut sudah kuanggap seperti ayah sendiri. Cukup dihormati masyarakat, seorang yang tegas tapi sifat pengasihnya terhadap kanak-kanak memang terserlah. Sejak meniti usia remaja dan menghampiri alam dewasa, kerap kukunjungi beliau, entah kenapa bagiku beliau memang mudah untuk didekati dan beliau juga sering ke rumah semata-mata untuk berjumpa. Kali terakhir bertemu beliau adalah pada 3 bulan yang lalu. Terasa sangat bersalah kerana tidak menjenguk beliau pada sebulan yang lepas, walaupun bertandang ke rumahnya tetapi sekadar berbicara dengan anak-anak dan cucu-cucu beliau. Tidak kusangka beliau yang berehat di dalam rumah menyedari akan kehadiranku dan sangat mengharapkan agar aku bertemunya. Namun hal ini hanya ku tahu selepas beliau tiada. Mungkin beliau merasakan itulah pertemuan terakhir dan diri sendiri terasa menyesal kerana masa yang ada kurang dimanfaatkan. Kadang-kadang kita tidak sangka, perwatakan dan sikap kita disenangi oleh orang lain dan bual bicara kita disenangi dan dihargai orang.
Kusedekahkan al-Fatihah dan Yasin buat Allahyarham. Budi dan kebaikan beliau akan kukenang dan sikap beliau yang bersahaja tetapi percakapan yang berhikmah cukup terkesan dihatiku. Ku belajar dari pengalaman, masa yang ada perlu dimanfaatkan dengan orang-orang yang kita sayang. Kasih sayang walaupun memang bukan sekadar bertemu mata, tetapi kiriman doa juga suatu tanda kasih sayang namun, realitinya manusia sering merasakan pertemuan adalah lebih utama dlaam menunjukkan kasih sayang. Berziarah atuk dan nenek perlu dikerapkan dan pulang ke rumah untuk bertemu umi dan ayah adalah paling utama. Tiada harta dan anugerah paling indah dan berharga selain umi dan ayah, atuk dan nenek serta adik beradik dan saudara mara. Kasih sayang dan cinta mereka adalah lebih asli tidak bersandarkan rupa paras ataupun harta benda.
Bagiku, mungkin aku akan lebih dulu dijemput Ilahi tetapi mungkin mereka juga kerana kita tidak tahu bila akan tiba detik itu. Tetapi andai ada masa dan kesempatan, masa yang ada perlu diluangkan dengan mereka...Itulah harapan ku dalam mentafsirkan erti kasih sayang yang sebenarnya. Kuharap bakal zuriat keturunanku kelak adalah mereka yang meletakkan kasih sayang pada tempat yang sepatutnya, yang menghargai ibu dan ayah sebagai permata kehidupan yang tidak terbayar dengan nilaian ringgit....
No comments:
Post a Comment