Bismillah dan alhamdulillah...
Minggu ini minggu ketiga bersama bayi-bayi dan kanak-kanak comel, Tapi ada juga kanak-kanak yang sudah "tidak comel". Kenapa? Paediatric dikira sampai lah seseorang itu berumur 18 tahun.
Paling "best" bila seorang kanak-kanak umur 3 tahun memanggil saya "achik". "Macam mak sedara dia, "kata ibu kepada kanak-kanak yang namanya Haiqal.
Sama seperti nama anak saudara juga, Haiqal ( anak saudara yang berumur 3tahun). Tapi perangai mereka berdua macam langit dengan bumi. Pesakit di wad ni bukan sekadar kanak-kanak biasa, tapi banyak juga yang kanak-kanak istimewa. Yang paling saya kagumi adalah ketabahan seorang ibu dalam menjaga anak-anak istimewa mereka. Mungkin di sudut hati mereka kita tidak pasti, tetapi sekurang-kurangnya nilai penghargaan dan kesyukuran mereka tergambar dalam percakapan mereka dan prihatinnya pada anak-anak mereka. Kanak-kanak dalam usia sedemikian sudah belajar erti penderitaan dan keredhaan. Paling menyedihkan sekiranya anda berpeluang melawat bilik ICU. Masing-masing tidak berada pada GLascow Coma Scale 15 dengan pelbagai devices yang disambung pada tubuh-tubuh kecil mereka. Ibu mana yang mampu menahan melihat penderitaan anak mereka?
Ini bukanlah pati utama entri ini. Lebih pada tazkiyattunnafs dalam memahami erti kehidupan di dunia. Untuk diri saya dan anda semua, hidup kita ( di dunia) tidak lama, ibarat singgah sebentar untuk berteduh dari panas. Tapi perjalanan ini terasa begitu lama , kerana kita perlu bercucuk tanam sementara untuk memastikan ada bekalan untuk perjalanan ke destinasi kita seterusnya. Tetapi sepanjang persinggahan ini, banyak yang kita belajar , dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar hal yang menuntut kita untuk memahami erti hidup ini.
Ada orang yang dikurniakan Allah dengan kebolehan yang mengagumkan. Dalam konteks dunia pelajar, apa yang dapat saya perhatikan ada yang selalu beroleh kejayaan dalam ujian mereka ( ujian dunia pelajar seperti peperiksaan) . Kadangkala mata kasar manusia akan bertanya sejauh mana usaha dia sehingga Allah memberi kejayaan sedemikian. Banyak professional yang berkongsi resepi dan rahsia kejayaan mereka , rata-rata berpendapat "kembali kepada ALlah" sebagai konsep yang utama dalam mencapai kejayaan. Seteleah berusaha, berserahlah kepada-Nya untuk menentukan pengakhiran itu. Tetapi masalah kita selalu tidak menilai pada hati. Kurang yakin pada ketentuanNya. Dan yang paling penting " Kita HambaNYa, maka kita layak diuji"
Itulah pegangan saya dalam melayari kehidupan ini. Sebagai manusia biasa kita tertakluk pada sunnatullah dan syariatullah dan kita tiada hak untuk mempersoalkan soal takdir dan ketentuan. Agak rumit untuk dibicarakan tetapi apabila kita meletakkan dan menyerahkan segala-galanya pada Allah, inshaAllah penentuan Allah adalah yang terbaik...
Semoga kehidupan kita diiringi dengan rahmatNya sentiasa.
No comments:
Post a Comment