Saturday 29 November 2008

Di sebalik pengorbanan


Raya lagi

Sekali lagi kita bakal menyambut hari 'idil adha hari yang menyaksikan puluhan ribuan dan jutaan umat Islam mengunjungi Baitullah di kota Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Pada setiap 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam menyambut hari kebesaran Islam yang mempunyai sejarah yang tersendiri. Alhamdulillah hampir 23 tahun saya menyambut hari 'idil adha, tahun ini kali pertama menyambut di rantau sendiri namun bukan bersama keluarga atas tuntutan fardhu kifayah yang sekarang telah menjadi fardhu ain buat diri ini. Bila agaknya pada tanggal 1o Zulhijjah nanti dan hari-hari tasyrik, diri ini akan berada di baitullah, mengunjungi tanah haram sekaligus menyempurnakan kesemua rukun Islam. InshaAllah mohon Allah mengurniakan kesempatan itu buat diri ini.




Korban

Dari segi bahasa, korban ini maksudnya dekat. Dari istilah sudah tentulah menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah SWT kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya. Dalam sejarahkita , menurut Al-Quran dan kitab perjanjian lama, korban pertama yang dilakukan manusia adalah oleh dua orang adik-beradik, putera Nabi Adam, Qobil dan Habil. Saya pernah mengunjungi tempat di mana korban ini berlaku suatu ketika dahulu. Peristiwa ini di "qaul"kan berlaku di Syria. Betapa besarnya hikmah kejadian hanya Allah yang tahu dan kita sebagai hambaNya hanyalah pengambil ibrah.
InshaAllah sekiranya di beri kesempatan ingin saya titipkan perjalanan di bumi anbia jordan dan syria di ruangan ini.

Kisah mereka kisah persengketaan. Mereka diperintahkan untuk melaksanakan korban, untuk menentukan siapa yang benar dalam persengketaan tersebut. Kedua saudara itu lalu menyediakan korbannya. Korban Habil diterima dan korban Qobil ditolak. Oleh kerana Habil berkorban dengan ikhlas menjalankan perintah Allah, sedangkan Qobil berkorban dengan maksud memenangkan persengketaan tersebut.

Nabi Ibrahim a.s

Nabi Ibrahim AS setelah selesai membangun Kaabah di kota Makkah, telah mendapat perintah untuk berkorban dengan menyembelih putera tunggal kesayangannya. Amat berat bagi baginda untuk melaksanakan tuntutan tersebut. Namun itulah jiwa dan semangat seorang pesuruh Allah swt. Disampaikan berita itu kepada puteranya Ismail mengenai mimpinya itu. Di dalam Al-Quran Surah as-Saffat: 102 maksudnya, "...Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?"

sebagaimana maksud ayat al-Quran:..."Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang yang sabar."(as-Saffat:102).
Begitulah jawab Nabi Ismail as. Betapa satu lagi jiwa dan kentalnya semangat seorang utusan Allah yang pada peristiwa itu tersirat seribu satu pengajaran. Dalam suasana yang mengharukan itu, Nabi Ismail meminta ayahnya melaksanakan perintah Allah tersebut. Nabi Ibrahim mencium kening puteranya itu, diletakkan di atas pangkuannya dan bersedia menyembelih.

Pada saat itu Allah telah menunjukkan kekuasaanNya dan menggantikannya dengan seekor kibas(kambing biri-biri jantan) yang muncul secara tiba-tiba menggantikan leher Nabi Ismail. Semenjak itulah baginda melaksanakan ibadat korban dengan menyembelih haiwan. Kemudian Nabi Muhammad SAW meneruskan ibadat korban sebagai syiar Islam sebagaimana yang kita laksanakan pada setiap hari raya 'Idil Adha dan hari-hari tasyrik.





Kisah mereka kisah pengorbanan

Kisah Nabi Ibrahim dan puteranya menunjukkan betapa kesediaan kedua orang bapa dan anak dengan rela hati dan ikhlas melaksanakan perintah Allah. Sepanjang sejarah kehidupan manusia, banyak yang berkorban kerana Allah SWT. Umpamanya pada zaman Rasulullah SAW, ramai para sahabat berkorban untuk menegakkan agama Islam. Mereka bukan saja berkorban harta tetapi juga jiwa raga. Saidina Ali telah mempertaruhkan nyawanya sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Uthman RA banyak mengorbankan harta untuk menegakkan agama Islam. Demikianlah pengorbanan umat Islam yang terdahulu.



Ibadah haji dan pengorbanan

Ibadat haji dan korban menuntut pengorbanan. Betapa sukarnya perjalanan ke Mekah tanpa ada pengorbanan, dari segi harta, tanggungjawab di rumah serta kerjaya. Segalanya demi memenuhi panggilan Allah swt. Korban haiwan memerlukan pengorbanan wang dan harta, yang mana sifat kikir disingkirkan dan sifat dermawan menjadi tarbiyyah buat kita.
Andai Hari Raya Aidil fitri yang lalu, kita mengeluarkan zakat fitrah bagi membantu kehidupan masyarakat yang tidak mampu, maka penyembelihan korban pada hari raya Aidil Adha dan hari-hari tasyrik berikutnya, juga dalam rangka membantu masyarakat itu sendiri. Di sinilah keindahan Islam untuk menimbulkan rasa senang di hati yang kurang mampu dan mengikiskan rasa sombong dan bermegah pada yang mampu.

Apa pengorbanan kita

Sejauh mana kita berkorban dalam memenuhi perjalanan seorang insan menuju destinasi abadi? Jarang benar orang berkorban untuk sahabat yang lain, namun masih ada segelintir yang berkorban untuk sahabat, sama-sama berusaha membantu sesama sahabat agar masing-masing berjaya merupakan antara pengorbanan kecil pada mata lahiriah namun besar ertinya. Kalau kita tidak mampu berkorban untuk menyelamatkan ummat Islam yang menderita atas cengkaman kuffur, berusahalah kita membantu diri sendiri ke arah menjadi individu yang terbaik semoga kelak lebih ramai ummat Islam yang kuat untuk kita membantu yang tertindas. Janji Allah Islam akan terpelihara, biarlah kita tergolong dalam golongan yang memelihara Islam itu. Doakan yang terbaik untuk diri kita dan ummat Islam , semoga erti pengorbanan tidak ternokhtah pada zahir nya korban itu tapi pada pengertian tersirat ,manifestasi kita dalam amalan seharian.

Buat ummi dan ayah, insan yang banyak berkorban buat kami semua, nilai korban itu tiada ukurannya. Kerana pengorbanan kalian atas dasar cinta dan kasih yang tersemi. Itulah sebahagian dari sebahagian nilai pengorbanan.............................



Annurfadmt
Georgetown 1 Zulhijjah 1429 H

No comments:

Post a Comment